Skip to main content

Malaysia

Op Way: Dua pengarah urusan, seorang pengarah syarikat didakwa beri rasuah lebih RM1.28 juta

SPRM, Op Way,
Salah seorang tertuduh ketika tiba di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu. - Astro AWANI

SHAH ALAM: Dua pengarah urusan dan seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM1.28 juta dalam usaha mendapatkan tender kerja Electrical Low Voltage (External LV Package) dan Security System daripada Sunway Engineering Sdn Bhd.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Advertisement

Yong Chun Jiat, 37, Pengarah Urusan PC Installation & Contracting Sdn Bhd, yang diwakili peguam Datuk N. Sivananthan, menghadapi enam pertuduhan memberi suapan kepada Pengurus Kontrak Sunway Engineering, Chong Yih Lip, sebagai upah membantu syarikatnya memperoleh tender LV Works.

Enam transaksi didakwa berlaku antara Ogos 2024 hingga Mei 2025 di beberapa lokasi di Lembah Klang, melibatkan jumlah keseluruhan RM1,050,000.

Yong didakwa bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda minimum 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Seow Kian Ang, 53, Pengarah Urusan SKA Technology Sdn Bhd, pula didakwa atas tiga pertuduhan memberi suapan RM338,000 setiap transaksi melalui orang tengah Khor Wei Kian.

Suapan itu yang berjumlah keseluruhan RM1,014,000 adalah sebagai balasan membantu syarikatnya mendapatkan tender kerja–kerja Security System.

Seow turut didakwa bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009. Beliau diwakili peguam Datuk Geethan Ram.

Menurut SPRM, kes ini adalah sebahagian operasi khas Op Way, yang menumpukan pembanterasan sindiket rasuah yang menyogok pegawai projek dan pengurus kontrak bagi memenangi tender teknikal bernilai tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan ke atas tertuduh, manakala tarikh sebutan semula kes akan ditetapkan kemudian.

 

 

 

Must Watch Video