KUALA LUMPUR: Yang di‑Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menegaskan bahawa isu berkaitan agama tidak boleh sama sekali dipolitikkan kerana ia boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan kestabilan negara yang majmuk.
Titah Seri Paduka Baginda, Malaysia dibina atas asas toleransi, saling menghormati dan pematuhan undang-undang, dan setiap rakyat mempunyai tanggungjawab untuk menjaga nilai tersebut demi kepentingan bersama.
Advertisement
Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub dalam urusan pembinaan rumah ibadat, sama ada kuil, masjid, gereja, atau tokong.
Baginda menegaskan sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat perlu diselesaikan melalui proses dan saluran undang-undang yang sama, tanpa mengira agama atau kaum.
Sultan Ibrahim turut mengimbas peranan baginda sebagai pendamai dalam insiden perobohan kuil di Johor pada Januari 2018, yang diselesaikan secara baik dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak agar mematuhi undang-undang bagi mengelakkan perkara tidak diingini dan menjaga ketenteraman awam,” titah Baginda.
Baginda menegaskan bahawa Islam menekankan prinsip saling menghormati, Islam tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan mereka, dan penganut agama lain juga wajar menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.
Sultan Ibrahim bertitah pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan provokasi, ketegangan dan salah faham, sekaligus memperkukuh perpaduan rakyat.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara.
Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelak kenyataan sensitif yang boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan keamanan negara.