DUNGUN: Hasrat seorang pesawah di Kampung Durian Mentangau untuk meraih hasil optimum sawah padi organik yang diusahakannya terbantut susulan kejadian banjir yang melanda kawasan itu sejak seminggu lepas.

Amirul Naim Zaidi, 28, berkata tanaman padi organik berkeluasan kira-kira lapan hektar yang diusahakan oleh beliau dan keluarga sejak tahun 2021 itu hanya dapat menghasilkan dua kitaran dalam tempoh setahun berbanding tiga kali kitaran jika tidak terjejas oleh banjir.

"Banjir pula susah kita nak jangka berlaku bila. Ada masa berlaku pada bulan November atau Disember dan pernah juga terjadi bulan Februari... jadi selama empat bulan ini (November hingga Februari) kita memang tak boleh buat apa," katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati keseluruhan tanaman sawah padi organik yang diusahakan secara bersama dengan Koperasi Paka itu ditenggelami banjir yang melanda sejak Sabtu lalu.

Amirul Naim berkata penanaman sawah padi organik diusahakan keluarganya itu adalah yang terbesar di Terengganu dan ia memerlukan penjagaan rapi memandangkan kawasan sawah itu baharu sahaja diterokai dua tahun lepas.

"Sebelum ini tanah sawah ini merupakan kawasan tanah hutan, jadi kita kena buang kayu-kayu di dalam tanah terlebih dahulu. Bila kita berjaya jadikan ia sebagai sawah padi, tidak sangka banjir pula melanda. Selepas ini banyak lagi kerja yang kami kena buat.

"Padi ini pun kami proses sendiri sehingga menjadi beras dan pasarkan sendiri melalui platform perniagaan dalam talian.

"Kami tidak boleh serahkan kepada kilang lain untuk memproses padi kerana beras organik ini ada standard pemprosesan tersendiri dan ia perlu dihasilkan tanpa melibatkan sebarang penggunaan bahan kimia," katanya sambil memberitahu sawah padi organik itu boleh menghasilkan sehingga 40 tan setiap kitaran.

Bagaimanapun beliau bersyukur kejadian banjir tidak menjejaskan penjualannya dan beliau masih mampu memenuhi permintaan pelanggan kerana telah terlebih dahulu memindahkan stok beras ke tempat yang lebih selamat.

"Cuma tanaman padi kita tangguhkan sementara menunggu banjir surut. Selepas banjir surut nanti kita akan teruskan proses penanaman," katanya.

Kelihatan optimis dalam menghadapi cabaran itu Amirul Naim menyasarkan pada tahun hadapan untuk meluaskan penanaman padi organik kepada 20 hektar selain berharap pihak kerajaan dapat memberikan bantuan untuk membina sistem tebatan banjir yang sesuai bagi membantu kelancaran proses penanaman.

"Harapan saya harap pihak kerajaan boleh bantu untuk fikirkan sesuatu, macam sekarang pun kita tengah hadapi krisis bekalan beras, jadi mungkin kerajaan boleh beri bantuan yang khusus untuk petani-petani di sini.

"Sebab kalau tengok di Terengganu tak banyak petani-petani yang tanam padi lagi-lagi padi organik dan kami pula ada sijil daripada Jabatan Pertanian.

"Mungkin boleh buat tebatan banjir supaya kami boleh usahakan padi tiga kali setahun, jadi tempoh empat bulan dalam setahun tidak rugi begitu sahaja," katanya.

-- BERNAMA