KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan menunjukkan penurunan manakala jumlah mangsa di Melaka kekal, petang ini.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 33,779 orang masih berada di 210 PPS di lima negeri.

Di SELANGOR, 15,404 mangsa ditempatkan di 83 PPS setakat petang ini berbanding 16,568 orang mangsa di 86 PPS tengah hari tadi.

Pihak Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan Pusat Kawalan Tindakan Kejadian (PTPK) di Taman Sri Muda akan diisytiharkan tutup pada 12 tengah malam ini.

Pengurusan itu memberitahu menurut laporan dari Komander PKTK Taman Sri Muda, operasi menyelamat dan tugasan pengagihan bantuan telah selesai serta tumpuan kini diberikan untuk kerja-kerja pembersihan.

Menurutnya, sebarang bantuan, pertanyaan atau aduan boleh disalurkan terus ke Bilik Operasi Bencana di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri Ng Sze Han dalam kenyataan berkata 12 Stesen Pemindahan Sementara sampah pukal dibuka setakat ini bagi mempercepatkan urusan pembersihan sampah pascabanjir.

Semua 12 stesen itu melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri merekodkan 17,738 mangsa banjir masih berada di 125 PPS di enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Bera, Maran, Temerloh dan Bentong setakat 4 petang.

Beberapa jalan yang ditutup sebelum ini di daerah Temerloh telah dibuka, bagaimanapun laluan di Pekan antaranya Jalan Teluk Ganchong Lepar, Pelak-Belimbing, selain Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Serengkam di Maran selain Jalan Batu Bor dan Jalan Charuk Puting-Guai di Bera masih ditutup.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya satu sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend menurun iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam kenyataan memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini dijangka akan mengalami keadaan tekanan air rendah berikutan penggunaan air terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah atau premis akibat banjir selain kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan telah menyebabkan jajaran paip terputus serta pecah.

Selain itu, beliau berkata hampir kesemua Loji Rawatan Air (LRA) telah beroperasi sepenuhnya bagi membekalkan air kepada pengguna dan masih dalam proses pemulihan, namun ia memerlukan masa dan akan pulih secara berperingkat.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan setakat 6 petang kepada 470 orang daripada 153 keluarga di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada paras waspada.

Di NEGERI SEMBILAN, 141 mangsa ditempatkan di tiga PPS, sementara di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang, menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra.

-- BERNAMA