BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir dari Kampung Suasa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir di sini kekal 43 orang pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu melibatkan mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS itu, Selasa lepas.

"PPS berkenaan mula dibuka pada Isnin lepas sebagai persediaan menghadapi bencana banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu," menurut kenyataan itu.

Sementara itu kenyataan jawatankuasa itu turut memaklumkan seramai 653 mangsa daripada 115 keluarga masih berada di tiga PPS Daerah Tawau akibat kejadian kebakaran rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Tawau pada 17 Mac lepas.

-- BERNAMA