KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri terlibat menunjukkan pengurangan malam ini.

Di TERENGGANU, banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu bermula Khamis lepas hampir pulih sepenuhnya apabila hanya seramai 158 mangsa daripada 16 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat 8 malam ini.

Di daerah Dungun seramai 42 mangsa daripada sembilan keluarga masih berlindung di PPS Balairaya Kampung Pelandang manakala di daerah Setiu, hanya dua mangsa daripada satu keluarga berada di PPS Surau Kampung Nyatoh.

Di daerah Marang pula seramai 114 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Berangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang.

Di KELANTAN, jumlah mangsa menurun kepada 5,164 orang daripada 1,621 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 5,327 orang daripada 1,688 keluarga yang direkodkan pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua 15 PPS yang dibuka adalah melibatkan jajahan Pasir Mas.

15 PPS tersebut adalah SK Gual Tinggi, SK Sri Rantau Panjang (2), SK Gual To'Deh, SK Gual Sitok, Masjid Lubok Gong, Masjid Baitul Rahman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang, SMA (Agama) Pohon Buluh dan SK Lati.

Di SELANGOR, seramai 15 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS SK Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Selangor yang mula dibuka sejak petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor memaklumkan dua PPS iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa di Klang dan Sekolah SK Parit Mahang di Kuala Selangor telah ditutup hari ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan menurun kepada 65 orang daripada 18 keluarga berbanding 89 mangsa daripada 26 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana APM Perak memaklumkan beberapa penduduk terjejas dibenarkan pulang selepas banjir surut di kediaman mereka.

"Ketika ini cuaca di kawasan berkenaan hujan sekejap-sekejap.

"Paras air di Sungai Bidor, Changkat Jong juga menurun kepada paras amaran iaitu 3.28 meter berbanding paras bahaya iaitu 3.51 meter sebelum ini," menurut kenyataan itu.

Kawasan yang terjejas banjir ialah Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi dan terbaru di Lorong Mesra.

-- BERNAMA