JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 3,322 orang di 45 pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Pontian menjadi daerah terbaharu dan yang keenam terjejas bencana tersebut setakat 8 malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata ini berbanding 1,805 orang di 41 PPS yang direkodkan di lima daerah, sejam lepas.

Beliau, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, berkata selain Pontian, daerah yang turut terjejas banjir ialah Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Johor Bahru dan Kulai.

"Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,638 orang di 19 PPS, diikuti Kluang dengan 863 orang di 13 PPS dan Johor Bahru dengan 733 mangsa di 10 PPS.

"Sementara itu, terdapat 20 mangsa di sebuah PPS di Segamat, 62 orang di sebuah PPS di Kulai dan enam orang di sebuah PPS di Pontian iaitu Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pekan Nanas yang baharu dibuka pada 7.45 malam ini," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurutnya terdapat beberapa PPS di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kluang yang angka mangsa banjir masih dikemas kini .

Sementara itu, Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir berkata hujan berterusan dari malam tadi menyebabkan paras air sungai meningkat dan kawasan rendah dinaiki air.

"Hingga kini, kerja-kerja pemindahan mangsa sedang giat dijalankan di Kota Tinggi dan beberapa tempat di Johor Bahru dan Machap.

"Situasi terkini adalah terkawal dengan kerjasama dan koordinasi agensi lain di peringkat JPBN," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Bagaimanapun, katanya jumlah mangsa dijangka terus meningkat berikutan hujan masih berlaku menyebabkan peningkatan paras air sungai utama di Johor seperti Sungai Kahang dan Sungai Johor.


Sementara itu, laporan terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan jumlah mangsa banjir di Pahang turut meningkat malam ini dengan 525 orang daripada 139 keluarga berlindung di 12 PPS di Rompin, Pekan dan Maran.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula menunjukkan sungai di enam kawasan di Johor berada pada paras bahaya dengan trend meningkat iaitu Kampung Laut di Sungai Skudai, Dagang (Sungai Johor), Sri Jaya (Sungai Johor), Kampung Murni Jaya (Sungai Johor), Kampung Sungai Siam (Sungai Johor) dan Kampung Contoh (Sungai Endau).

Trend peningkatan pada paras bahaya juga dicatatkan di tiga kawasan di Pahang iaitu Pekan, Rompin dan Maran membabitkan Sungai Pahang, Sungai Keratong dan Sungai Rompin, manakala dua kawasan menunjukkan trend menurun iaitu Jerantut (Sungai Pahang) dan Kuantan (Sungai Kuantan).

Selain itu, Sungai Kelantan iaitu di kawasan Kota Bharu dan Gua Musang turut menunjukkan trend peningkatan pada paras bahaya, selain keadaan sama di Sungai Arau di Perlis dan Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah, manakala Sungai Batang Sadong di Serian, Sarawak terus menunjukkan trend penurunan.

Laporan itu turut menyatakan setakat hari ini 46 jalan ditutup akibat bencana dan kerosakan antaranya Jalan Kota Tinggi - Kluang, Jalan Sepayang, Rompin di Pahang; Lebuhraya Kuantan - Segamat (Lebuhraya Tun Razak) dan Jalan Ulu Tebrau - Sg. Tiram di Johor.

-- BERNAMA