Skip to main content

Malaysia

Penghayatan Rukun Negara selari tuntutan Islam dalam masyarakat majmuk - YADIM

Sumber: BERNAMA
YADIM menjunjung setinggi-tinggi titah Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan seluruh rakyat agar menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan, keharmonian dan kestabilan. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Penghayatan Rukun Negara selari dengan tuntutan Islam yang menyeru kepada persaudaraan, saling menghormati, keadilan dan tanggungjawab memelihara keamanan dalam masyarakat majmuk, menurut Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom berkata sebagai institusi dakwah yang mendukung agenda pembinaan ummah dan negara, yayasan dakwah itu melihat nilai perpaduan serta keharmonian yang terkandung dalam Rukun Negara bertepatan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata dakwah yang berkesan bukan sahaja berperanan mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah SWT, malah turut membina keharmonian sesama manusia dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

"YADIM menjunjung setinggi-tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mengingatkan seluruh rakyat agar menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan, keharmonian dan kestabilan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasan berkata titah Seri Paduka Baginda agar semua pihak menjaga adab, tutur kata serta mengelakkan provokasi terhadap isu sensitif juga sejajar dengan nilai dakwah Islam yang menekankan hikmah, kebijaksanaan dan akhlak dalam setiap tindakan serta percakapan.

Hasan berkata tragedi 13 Mei 1969 menjadi pengajaran bahawa keamanan dan perpaduan tidak boleh dipandang ringan.

"Sebaliknya, kestabilan yang dinikmati hari ini telah membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata dalam era digital, cabaran perpaduan turut hadir melalui penyebaran maklumat tidak sahih, ucapan kebencian dan provokasi di media sosial.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata setiap rakyat perlu mengamalkan budaya tabayyun, berhemah dalam berkomunikasi dan mengutamakan fakta berbanding sentimen.

Perbezaan pandangan, katanya, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merosakkan hubungan antara kaum, agama dan budaya yang menjadi kekuatan Malaysia.

Hasan berkata YADIM yakin aspirasi Malaysia MADANI hanya dapat direalisasikan dalam suasana aman, stabil dan saling mempercayai, dengan dakwah berperanan sebagai wahana yang menyuburkan budaya ilmu, memperkukuh persefahaman dan menyatukan masyarakat berbilang kaum serta agama.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya menyahut titah Seri Paduka Baginda dengan memperkukuh semangat perpaduan nasional serta menolak sebarang bentuk kebencian dan politik perpecahan demi masa depan negara yang aman dan sejahtera.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement