KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Selangor menunjukkan semakin pulih namun berbeza di Perak yang menyaksikan jumlah mangsa terus bertambah setakat 9 malam ini.

Di Perak, jumlah mangsa banjir malam ini terus meningkat dengan 488 mangsa daripada 151 keluarga ditempatkan di lima pusat permindahan sementara (PPS) berbanding 470 mangsa daripada 145 keluarga pagi tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, di daerah Hilir Perak terdapat pertambahan mangsa banjir iaitu 22 mangsa daripada sembilan keluarga yang berlindung di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

Bagi daerah sama, sebanyak 165 mangsa daripada 52 keluarga lagi ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pula menempatkan 147 orang daripada 47 keluarga.

Sementara itu, di daerah Kerian pula jumlah mangsa banjir kekal dengan 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu.

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu 4.17 meter (m), manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang 13.11m.

Di Selangor, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS berkurang kepada 702 mangsa daripada 180 keluarga berbanding 740 mangsa banjir daripada 186 keluarga dilaporkan pagi tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan satu PPS dibuka hari ini di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom di daerah Kuala Langat manakala satu PPS di daerah Petaling ditutup iaitu Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Seksyen 10, Putra Height, Subang Jaya.

Setakat ini, 10 PPS sedang beroperasi di Selangor membabitkan daerah Sepang (lima), Hulu Langat (dua) dan Kuala Langat (tiga).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bagi beberapa kawasan di tujuh negeri berkuat kuasa sehingga 1 pagi, Jumaat.

Amaran cuaca dikeluarkan pada 8.45 malam itu melibatkan Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling di Kedah; Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak; dan Gua Musang di Kelantan.

Selain itu kawasan di Terengganu meliputi Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun; serta Batu Pahat dan Pontian di Johor, manakala di Sarawak melibatkan kawasan Betong (Saratok), Sarikei (Sarikei), Miri (Marudi) dan Limbang serta di Sabah melibatkan Papar, Putatan dan Penampang.

-- BERNAMA