Pahang dan Johor menunjukkan peningkatan manakala Terengganu dan Kelantan pula jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sehingga jam 9 malam tadi.

Memetik laporan Bernama, jumlah mangsa banjir di PAHANG kembali meningkat kepada 39,117 berbanding 32,808 pada petang semalam.

Mangsa-mangsa yang dipindahkan membabitkan kawasan di Kuantan, Pekan, Temerloh dan Jerantut dimana jumlah mangsa kembali meningkat.

Namun begitu, jumlah mangsa banjir di daerah Rompin dan Maran menurun selain Lipin dan Bera yang masih kekal dengan jumlah yang sama.

Di Kuantan sahaja terdapat 34,504 orang yang ditempatkan di 41 pusat pemindahan sementara di daerah Pekan pula terdapat 3,356 mangsa yang ditempatkan di 24 pusat pemindahan, Temerloh (485 di enam pusat pemindahan), Jerantut (478 di 11 pusat pemindahan), Rompin (173 di lima pusat pemindahan), Maran (83 di dua pusat pemindahan), Bera (65 di enam pusat pemindahan) dan Lipis (33 di dua pusat pemindahan).

Kesemua mangsa daripada 11,253 keluarga itu ditempatkan di 97 pusat pemindahan membabitkan 77 kampung.

DI JOHOR pula, terdapat peningkatan dari segi jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terutama di daerah Pontian dimana tiga pusat pemindahannya dibuka bagi menempatkan 391 mangsa.

Menurut Portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), daerah-daerah lain yang masih membuka pusat pemindahannya ialah Batu Pahat dengan 436 mangsa, Kota Tinggi (145 mangsa), Segamat (527 mangsa) dan Ledang (lapan mangsa).

Keseluruhan mangsa terbaru yang terlibat adalah 1,507 orang berbanding 1,071,

DI TERENGGANU pula, mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir kini telah berkurangan kepada 7,167 orang berbanding 7,337 orang petang tadi.

Kawasan yang terjejas seperti Kemaman telah menurun kepada 2,450 orang berbanding 2,472 orang manakala Hulu Terengganu pula turut berkurangan kepada 157 orang berbanding 483 orang.

Walau bagaimanapun, Marang mencatatkan peningkatan daripada 44 orang kini bertambah kepada 157 orang dan Dungun juga meningkat kepada 4,516 orang berbanding 4,340 mangsa malam tadi.

Di KELANTAN, jumlah mangsa seramai 2,381 orang pada petang semalam telah berkurangan kepada 1,762 orang sahaja pada jam 9 malam.

Semua pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai kini telah pun ditutup setelah 407 mangsa dibenarkan pulang.

Jajahan Pasir Mas iaitu di Rantau Panjang yang mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 1,696 mangsa kini telah berkurangan sebanyak 1,638 orang, manakala Jajahan Tanah Merah pula masih terus kekal dengan hanya 20 orang mangsa dari empat keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Ulu Kusial.

Keadaan paras air sungai di negeri itu turut semakin surut namun paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih terus melepasi paras bahaya iaitu 10.26 meter (bahaya 9 meter).