BALING: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,220 orang daripada 372 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini.

Jumlah ini direkodkan pada jam 8 pagi hari ini berbanding 701 mangsa daripada 201 keluarga yang dicatatkan pada jam 12 tengah malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, empat PPS baharu dibuka.

Satu PPS baharu dibuka di Surau Permatang Lima, Pokok Sena, dua lagi di Baling iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Iboi dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai sementara satu lagi di SMK Kepala Batas.

PPS di SMK Kepala Batas menempatkan seramai 30 mangsa daripada 11 keluarga manakala PPS di Surau Permatang Limau yang dibuka jam 5 petang semalam menempatkan seramai lapan mangsa setakat ini.

Foto APM Baling

"PPS di SK Kampung Iboi yang dibuka jam 8.30 malam tadi menempatkan seramai 103 mangsa daripada 40 keluarga.

"PPS di SMK Jerai pula menempatkan seramai 141 mangsa daripada 43 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, mangsa yang ditempatkan di PPS Maahad Tarbiyah Derang di Pokok Sena Pula menempatkan 157 mangsa daripada 58 keluarga.

Foto APM Baling

Beliau berkata, empat PPS masih beroperasi di daerah Kubang Pasu termasuk di SMK Changlun yang menempatkan 99 mangsa daripada 28 keluarga dan di SK Malau (119 mangsa daripada 29 keluarga).

Dua lagi PPS ialah di Dewan PPK Lubuk Batu (55 mangsa daripada 21 keluarga) dan di Dewan Kampung Tradisi (22 mangsa daripada tujuh keluarga).

Sementara itu, di daerah Kota Setar, PPS di SK Taman Aman menempatkan 173 mangsa daripada 57 keluarga dan PPS di SK Bukit Hijau menempatkan 313 mangsa daripada 85 keluarga, kata Muhammad Suhaimi.

Foto APM Baling