PASIR PUTEH:Banjir serta limpahan air di kawasan rendah sejak kelmarin menyaksikan seorang lagi ditemukan lemas kerana dihanyutkan air deras.

Seorang pemuda yang dilaporkan hilang pada Khamis, ditemukan lemas petang semalam.

Mayat Mohd Fahmie Abdullah, 33 tahun, ditemui penduduk kampung di Tasek Gong Kala, Pasir Puteh, sekitar jam 4.15 petang.

Mangsa dipercayai lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika melintasi kawasan banjir.

Mayat ditemukan lengkap berpakaian dan bertopi keledar bersama sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Azmir Damiri memaklumkan, mangsa dipercayai melintasi kawasan banjir untuk pulang ke rumah semalam.

Mangsa tidak pulang sejak kelmarin selepas keluar bekerja.

Sementara itu situasi banjir di Kelantan sehingga pagi ini menyaksikan 400 mangsa dipindahkan melibatkan tiga jajahan, masing-masing Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Sejumlah 11 pusat pemindahan sementara dibuka setakat pagi ini dengan jajahan Pasir Puteh mencatatkan bilangan 219 mangsa banjir.

Pada 24 Nov lalu, hujan lebat berterusan hingga menyebabkan berlaku limpahan air menyaksikan seorang remaja terkorban akibat terjatuh ke dalam tali air.

Mangsa, Mohd Alif Asyraf Parudin, 13 tahun, lemas di Kampung Telaga Bata, Sering, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, selepas keluar bersama dua rakannya untuk mandi di kawasan berkenaan.