KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kekesalan terhadap sikap dan cara pengurusan banjir oleh pemimpin di negara ini.

Kata beliau, kelemahan agensi-agensi berkaitan jelas terpampang di saat rakyat negara ini diuji dengan musibah banjir.

"Kelemahan-kelemahan utama berhubung tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana kini terpampang jelas.

"Tindakan lembab dari Kerajaan Persekutuan terutamanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ditambah pula dengan penyelarasan yang kucar-kacir pihak kerajaan serta agensi-agensi tempatan ternyata merumitkan krisis ini kepada rakyat dan menjadikan ia satu malapetaka tadbir urus juga," tegas beliau dalam perkongsian di Facebook hari ini.



Ujarnya, negara ini telah mengalami hujan lebat berterusan selama beberapa hari sejak minggu lalu dan perkara itu seharusnya memberi petanda terhadap kesiap siagaan berdepan bencana itu.

"Setakat hari ini, 17 mangsa telah dilaporkan maut di Selangor dan lapan mangsa di Pahang, manakala lebih 60,000 lagi kehilangan tempat tinggal tanpa ada tanda-tanda jelas berhubung keadaan rumah dan tahap kelangsungan hidup seusai banjir surut," jelas beliau.

Kata Anwar lagi, kelewatan untuk menggerah anggota berkaitan turut menyebabkan rakyat tampil dengan inisiatif sendiri bagi membantu warga terkesan.

"Kelewatan dalam menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memungkinkan beberapa pegawai untuk bertindak dengan inisiatif sendiri dalam membantu warga yang terkesan.

"Penyelarasan yang lemah antara pasukan sukarelawan dan angkatan tentera hanya menambah kekeliruan dan kekecewaan," tambahnya lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor

Selain itu, krisis ini kata Anwar turut disifatkan sebagai 'mimpi ngeri' buat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mana ia mengambarkan keupayaan serta kecekapan tadbir urus beliau yang melatari 100 hari pencapaian pentadbiran beliau.

"Kerajaan dan pimpinan yang gagal menonjolkan kebersamaan dengan rakyat sedari awal bencana ini, tidak akan mampu memberi keyakinan kepada kita semua bahawa mereka juga mampu melonjakkan negara ke arah pemulihan dari musibah ini, termasuk masalah wabak yang masih mengganas.

"Saya kagum dengan semangat kekeluargaan sebenar yang telah ditonjolkan rakyat berbilang kaum tatkala pemimpin-pemimpin utama kerajaan sibuk bermesyuarat.

"Sewaktu saya turun mengagihkan bantuan kepada rakyat yang terkandas, saya turut mendengar dan menyaksikan sendiri babak-babak yang luar biasa yang memaparkan sikap belas dan keprihatinan yang tinggi. Saya turut berkongsi kekecewaan mereka berhubung kelemahan kerajaan dalam krisis ini," katanya.

Ujar Ketua Pembangkang itu lagi, musibah ini juga memberi pengajaran awal kepada semua mengenai peranan dan kepentingan untuk menjaga alam sekitar yang mampu mengundang bencana dahsyat sekiranya tidak dipedulikan.

Oleh yang demikian, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menyeru rakyat untuk mengambil iktibar dan melihat punca kelemahan dalam aspek pengurusan bencana banjir di negara ini.

"Perdana Menteri sekarang ini mesti ambil tindakan untuk segera menubuhkan jawatankuasa diraja termasuk jawatankuasa Parlimen dalam menambah baik tahap kesiapsiagaan bencana.

"Dalam masa yang sama, kerajaan dituntut untuk membantu rakyat mendapatkan semula rumah mereka yang dibadai banjir dan tidak memandang remeh soal pemulihan sesudah banjir.

"Kerajaan mesti punyai sikap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada orang ramai dan mesti mengadakan sidang media harian bagi mengemaskini situasi semasa banjir dan langkah menyelamat.

"Saya juga ingin mendesak Kerajaan Persekutuan untuk membetulkan ketempangan dalam Majlis Keselamatan Negeri Selangor di mana Menteri Besar mesti dikembalikan kuasa dan peranannya dalam mengemudi krisis ini.

"Saya juga ingin mengucapkan tahniah atas pelbagai inisiatif dan peruntukan bantuan RM100 juta yang telah digerakkan Kerajaan Negeri Selangor kepada mangsa-mangsa banjir," memetik kenyataan yang sama.