SEGAMAT: Kerajaan Negeri Johor menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun padang meninjau situasi banjir di Johor dan atas komitmen beliau dalam membantu negeri itu, dalam aspek peruntukan dan projek berkaitan banjir.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata komitmen berkenaan termasuk meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50 juta untuk sebarang keperluan banjir di Johor, tambahan kepada peruntukan RM10 juta yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

"Perdana Menteri juga mengulangi pendirian beliau untuk mempercepatkan tender Rancangan Tebatan Banjir di Johor dan mempertimbangkan permohonan peruntukan untuk kerosakan jalan, kemusnahan tanaman, ternakan dan sebagainya," katanya dalam satu hantaran di Facebook, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu berkata penghargaan itu juga, dizahirkan atas keputusan Perdana Menteri dalam penambahan segera aset dan pegawai di bawah kerajaan Persekutuan, selain komitmen untuk membantu kerja-kerja pascabanjir.

Beliau turut berterima kasih pada Perdana Menteri yang sudi menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Gemereh dan PPS SJK(C) Kg Tengah hari ini, selain menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Menteri Besar berkata Anwar turut menyeru rakyat Johor supaya mendengar arahan pihak berkuasa dan terus saling bantu membantu, dalam mendepani bencana berkenaan.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa mendengar taklimat mengenai situasi banjir di negeri itu di Rejimen-4, Artileri Diraja Kem Segamat sebelum melawat dua PPS tersebut.

Jumlah mangsa di Johor meningkat kepada 46,742 orang setakat 2 petang ini, berbanding 44,860 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi, dengan Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas.

-- BERNAMA