KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas dalam bentuk Dana Perubahan Iklim bagi menangani fenomena banjir.

Pengarah Pejabat Pelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Fadhil Md Din berkata dana tersebut sewajarnya diperuntukkan sebagai dana tambahan kepada semua projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Mahu tidak mahu Kerajaan perlu berbelanja atau beri peruntukan dari segi Dana Perubahan Iklim yang perlu dijadikan sebagai tambahan kepada dana yang diperuntukkan untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Banjir: Kerajaan perlu sediakan Dana Perubahan Iklim - Penganalisis
 
Jelasnya, dana perlu ditumpukan kepada menyediakan infrastruktur awam, termasuk berkaitan saliran dan pengurusan sisa buangan yang boleh menyebabkan banjir.

Menurut Mohd Fadhil, persediaan ini perlu dilaksana memandangkan 80 peratus populasi Malaysia akan tertumpu ke kawasan bandar melalui proses urbanisasi.

“Dalam mana-mana projek pembangunan biasanya pemaju hanya titik beratkan lokasi pembangunan, tetapi infrastruktur masih perlu dibina oleh Kerajaan.

“Apabila pembangunan baharu dibuat, sepatutnya sudah ada kajian semula kepada sistem perparitan yang melibatkan sambungan semasa. Ini yang akan menyebabkan apabila berlakunya keamatan tinggi larian air daripada mana-mana zon dalam kawasan bandar, ia tidak dapat ditampung,” katanya lagi.


Agenda AWANI: Monsun… banjir semakin buruk?