Skip to main content
Advertisement

Dunia

Manuskrip Aztec dipamerkan di Mexico selepas 186 tahun berada di luar negara

The Codex Azcatitlan, a rare 16th-century manuscript on loan from France's National Library, is displayed at the National Museum of Anthropology in Mexico City, Mexico, September 17, 2026. REUTERS
Naskhah Codex Azcatitlan, manuskrip abad ke-16 yang jarang ditemui dan dipinjamkan oleh Perpustakaan Nasional Perancis, dipamerkan di Muzium Antropologi Nasional di Mexico City, Mexico. - Foto REUTERS
Advertisement

MEXICO CITY: Sebuah manuskrip bersejarah yang menceritakan tamadun Aztec dan kejatuhannya selepas kedatangan penjajah Sepanyol dipamerkan di Mexico buat pertama kali selepas berada di luar negara selama 186 tahun.

Dokumen dikenali sebagai Codex Azcatitlan itu akan dipamerkan di Muzium Antropologi Negara di Mexico City mulai Khamis selepas dipinjamkan oleh Perancis.

Manuskrip berkenaan disimpan di Perpustakaan Negara Perancis sejak 1898, namun dipercayai telah meninggalkan Mexico beberapa dekad sebelum itu.

Dihasilkan sekitar abad ke-16, beberapa tahun selepas kedatangan conquistador Sepanyol ke wilayah yang kini dikenali sebagai Mexico, Codex Azcatitlan dianggap antara rekod paling berharga mengenai sejarah masyarakat Aztec.

Melalui siri piktogram atau lukisan simbolik, manuskrip itu menggambarkan perkembangan tamadun Aztec serta peristiwa yang membawa kepada kejatuhannya selepas penaklukan Sepanyol.

Pameran itu diadakan sempena ulang tahun ke-200 hubungan diplomatik antara Mexico dan Perancis.

Sebagai sebahagian daripada pertukaran budaya tersebut, Mexico bersetuju meminjamkan Codex Boturini kepada Perancis untuk dipamerkan di negara itu.

Codex Boturini pula mengandungi piktogram yang menceritakan penghijrahan masyarakat Aztec, atau Mexica, dari tanah asal mereka ke Tasik Texcoco, lokasi pembinaan kota purba Tenochtitlán.

Pertukaran sementara kedua-dua manuskrip bersejarah itu dipersetujui Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, dan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron, ketika lawatan pemimpin Perancis itu ke Mexico tahun lalu.

Mexico sejak sekian lama berusaha mendapatkan semula artifak bersejarah yang dibawa keluar dari negara itu pada abad-abad lalu.

Menurut Kementerian Luar Mexico, lebih 2,000 artifak berjaya dibawa pulang ke negara itu sepanjang tahun lalu.

Pameran Codex Azcatitlan dijangka memberi peluang kepada rakyat Mexico melihat sendiri salah satu dokumen paling penting yang merekodkan sejarah dan warisan tamadun Aztec.

 

 

Must Watch Video

Advertisement