SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan bantuan wang ihsan bencana kepada semua penduduk yang terkesan akibat banjir di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan RM10,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa dalam tragedi itu.

Beliau pada masa sama turut mengumumkan bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan akibat banjir tersebut.

"Bantuan RM1,000 ini bukan sahaja untuk mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi juga kepada mereka yang tinggal di kediaman sendiri, menumpang di rumah saudara mara atau di PPS yang tidak didaftarkan.

"Ini bermakna, mereka yang terjejas akibat banjir adalah layak untuk mendapat bantuan ini," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

BACA: Banjir: 17 korban nyawa di Selangor - Menteri Besar

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor


Banjir | Kerajaan Selangor umum bantuan wang ihsan
 
Beliau turut mengakui, RM1,000 itu adalah jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan nilai kerugian yang dialami oleh mangsa banjir.

Antara bantuan lain yang turut diumumkan beliau adalah melibatkan bantuan kesihatan, pengecualian bil air selama sebulan, penangguhan pinjaman kepada usahawan Hijrah Selangor serta pungutan sisa pepejal.

Pada sidang media sama, Amirudin turut mengumumkan pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit bagi memudahkan individu, syarikat swasta, korporat atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta mana-mana individu yang ingin membantu proses pemulihan banjir di negeri itu.


[TERKINI] Sidang media khas situasi banjir di Selangor

"Sebagai komitmen awal kepada tabung ini, saya akan menyumbangkan sebulan gaji ke dalam tabung ini.

"Tidak ada apa yang mampu untuk kami sumbangkan kecuali darah, keringat, kerja keras dan air mata," katanya.