DUNGUN: Buat kali pertama setelah 40 tahun, penduduk di gugusan Felda Kerteh di Ketengah Jaya di sini, dapat 'merasai' pengalaman menjadi mangsa banjir.

Ibarat penutup tragis bagi 2023 buat penduduk setempat, banjir kilat yang berlaku kira-kira 4 petang semalam itu menyebabkan 260 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4, Felda Kerteh 6 dan Ketengah Jaya merupakan kawasan paling teruk terjejas sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa, malah ada yang mengalami trauma akibat banjir kilat itu.

Nik Noorin Nor Ab Rahman, 59, berkata ketika kejadian, dia sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Kerteh 1 dari Kelantan apabila menerima panggilan daripada adik lelakinya memaklumkan rumahnya mula dinaiki air.

Dia yang pada mulanya menyangka banjir tidak serius bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan air sudah naik sehingga paras pinggang dan beberapa kenderaan miliknya mula ditenggelami air.

"Adik hubungi saya bertanyakan di mana kunci kereta sebab dia nak tolong alihkan kerana air naik begitu cepat. Dia kemudian memecahkan tingkap rumah untuk ambil kunci-kunci tersebut namun terlewat sebab air sudah menenggelamkan dua kereta dan tiga motosikal.

"Tidak lama selepas itu kami sekeluarga sampai di jalan besar di luar tapi kereta sudah tidak boleh meredah air. Mujurlah ada seorang penduduk yang ketika itu sedang memandu traktor, dan kami meminta pertolongannya membawa kami ke rumah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.

Setibanya di rumah, Nik Noorin Nor yang mengusahakan kedai makan di hadapan rumahnya berasa amat terkejut dan tidak mampu untuk berkata-kata, malah tidak berdaya untuk menelefon ahli keluarganya bagi memaklumkan kejadian banjir kilat itu.

"Hampir kesemua barang di dalam dan luar rumah rosak. Rumah juga ditinggalkan kosong tanpa ada sesiapa ketika itu... sebab kami memang tidak menjangkakan kejadian sebegini," katanya sambil menganggarkan kerugian dialaminya sekeluarga lebih RM50,000.

Sementara itu, Marina Husain, 36, dari Ketengah Jaya berkata kejadian tersebut menyebabkan dirinya trauma lebih-lebih lagi apabila hujan masih berterusan hari ini walaupun tidak lebat seperti semalam.

Menceritakan detik cemas, ibu kepada empat anak itu berkata dalam tempoh kira-kira 15 minit sahaja air naik sehingga paras paha berikutan limpahan air dari parit di hadapan serta alur sungai di belakang rumahnya.

"Mujurlah suami ada di rumah ketika itu dan dia segera meletakkan anak bongsu kami berusia tiga tahun di atas tembok rumah. Kami tidak tahu nak selamatkan barang mana dulu, cuma ambil dokumen penting sebelum bergegas ke tempat selamat bersama ibu yang berusia 72 tahun.

"Sungguh saya panik bila berdepan situasi sebegitu buat kali pertama. Tak logik, kalau tanya saya tak logik kejadian banjir kilat yang berlaku semalam," katanya yang menumpang tidur di rumah ibunya malam tadi.

Tinjauan Bernama di lokasi mendapati kesan banjir kilat berkenaan amat ketara apabila pejabat pengurusan Felda Kerteh 4 dan Felda Kerteh 6 turut mengalami kerosakan struktur tanah dan pagar.

Kejadian banjir kilat di Ketengah Jaya itu menjadikan bilangan keseluruhan mangsa banjir gelombang ketiga di Dungun yang tertinggi iaitu sebanyak 1,220 orang setakat 2 petang tadi.

Selain Dungun, lima lagi daerah terkesan ialah Hulu Terengganu sebanyak 728 orang, Kemaman (361 orang), Setiu (215 orang), Besut (106 orang) dan Marang (12 orang), menjadikan keseluruhan sebanyak 2,642 mangsa yang masih berteduh di 53 buah PPS, menurut data oleh sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu.

-- BERNAMA