KUALA LUMPUR: Hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam dikenal pasti menjadi punca berlakunya banjir kilat di ibu negara petang tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bacaan kadar taburan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa Smart, Kuala Lumpur dengan bacaan 106.5 milimeter.

Tambah beliau, bacaan lebih tinggi pula direkodkan di Stesen Air Panas dengan bacaan 155 milimeter hanya dalam tempoh dua jam.

"Dalam tempoh setahun, bacaan hujan adalah 2,500 mm menjadikan purata bacaan (kira-kira) 200 mm sebulan, namun dalam tempoh dua jam sahaja bacaan yang direkodkan adalah melebihi 106 mm iaitu lebih setengah purata bulanan.

“Kejadian banjir berpunca daripada hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi.

“Aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada pada aras bahaya dengan bacaan 31.99m, manakala aras air Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di Stesen Jambatan Tun Perak masing-masing adalah 30.38 meter dan 30.12 meter. 

“Insiden banjir kilat ini menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Besraya ditenggelami air sehingga kedalaman 0.6 meter. Selain itu, adalah dianggarkan 103 buah rumah telah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung banjir kilat di Kuala Lumpur dan Lembah Klang di Pusat Kawalan Terowong SMART di sini, pada Isnin malam.

Banjir Kilat | Intipati sidang media banjir kilat Lembah Klang

BACA: Banjir kilat Lembah Klang: Lebih 20 kawasan dinaiki air, PPS dibuka di Dewan Sultan Sulaiman

Tambah beliau, lencongan Terowong SMART telah diaktifkan kepada Mod 2B pada jam 3.40 petang, Mod 2 pada 3.58 petang dan Mod 3 pada 4.44 petang tadi.

“Pada masa sama, semua infrastruktur sistem kawalan banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPSWKL) telah beroperasi dengan baik mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Terowong SMART juga berkesan cuma air banyak sangat dalam beberapa jam dan ia berisiko. Tapi akan datang kita rancang untuk tinggikan ban di sungai dan tingkatkan (hebahan) ramalan MetMalaysia.

“Ia adalah supaya ketepatan ramalan ditingkat dan pada masa sama, kita juga galakkan masyarakat terlibat dalam usaha memberikan laporan,” ujarnya.

Beliau juga menasihatkan penduduk kawasan rendah agar lebih berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga ketika hujan lebat.

“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa peka dengan bunyi siren amaran banjir bagi memantau keadaan cuaca.

“Sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” katanya.