Skip to main content

Malaysia

Banjir kilat PJ: Gobind arah mesyuarat segera, rangka pelan tindakan

Sumber: Astro AWANI
Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata, aspek keselamatan penduduk perlu diberi keutamaan sebelum sebarang kerja pembaikan atau mitigasi dilaksanakan. - Foto/ Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, mengarahkan satu mesyuarat melibatkan semua agensi berkaitan diadakan hari ini bagi merangka pelan tindakan susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang menjejaskan beberapa kawasan di Petaling Jaya.

Menurutnya, pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bomba, pemaju serta agensi teknikal lain diarah untuk mengadakan mesyuarat bagi meneliti penyelesaian terbaik terhadap masalah berkenaan.

“Buat masa sekarang saya telah minta supaya semua pihak yang berkaitan mengadakan mesyuarat hari ini dan kemukakan kepada saya cadangan-cadangan untuk memastikan kawasan ini selamat.

“Kita mahu lihat apa tindakan segera yang boleh diambil dalam jangka pendek dan bagaimana masalah ini dapat diselesaikan secara menyeluruh untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, aspek keselamatan penduduk perlu diberi keutamaan sebelum sebarang kerja pembaikan atau mitigasi dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada media hari ini, ketika melakukan lawatan Ke Kampung Sungai Kayu Ara Dan Kampung Chempaka yang terjejas akibat banjir kilat dan tanah runtuh, Sabtu lalu.

Gobind berkata, beliau memahami kebimbangan penduduk susulan kejadian terbaharu yang menimbulkan persoalan mengenai keselamatan jalan, tebing sungai serta kediaman berhampiran.

“Kalau kita lihat keadaan jalan di kawasan ini, terdapat lubang-lubang dan kita boleh nampak air masih mengalir di bawahnya. Jadi persoalannya adakah jalan ini selamat, adakah tebing sungai ini selamat dan adakah rumah-rumah di kawasan ini selamat.

“Kepada saya, keselamatan penduduk adalah keutamaan dan apa-apa cadangan yang dibuat perlu melihat aspek keselamatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa cadangan penyelesaian telah dikemukakan sejak kejadian sama berlaku beberapa bulan lalu dan kerja-kerja awal juga telah dimulakan oleh pihak pemaju.

Bagaimanapun, katanya, semua tindakan perlu dilaksanakan dengan pemantauan pihak berkuasa bagi memastikan ia mematuhi keperluan teknikal dan perundangan yang ditetapkan.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja telah dimulakan dan memang ada pemantauan daripada pejabat saya. Tetapi kita perlu pastikan setiap tindakan yang diambil mendapat kelulusan serta dipantau oleh pihak berkuasa supaya benar-benar dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Gobind berkata, beliau mahu satu pelan tindakan yang jelas dapat dimuktamadkan secepat mungkin bagi memberi keyakinan kepada penduduk bahawa isu berkenaan sedang ditangani secara serius.

“Kita bukan sahaja mahu pastikan kawasan ini selamat untuk hari ini, tetapi kita mahu pastikan masalah ini dapat diselesaikan supaya tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu Medan Selera 223 dilanda banjir kilat pada Sabtu susulan hujan lebat, menjadikannya kejadian ketiga yang direkodkan di lokasi berkenaan dalam tempoh kurang tiga bulan.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan paras air mencecah bawah pinggang sehingga menjejaskan operasi peniaga dan pelanggan.

Must Watch Video

Advertisement