Sebanyak lima buah kampung di Daerah Kerian dilanda banjir menyebabkan 75 penduduk dari 34 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 8 malam ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kerian, kampung-kampung itu ialah Parit 3 Kampung Alir Setanggok, Kampung Tanjung Bugis Tebok Panchur, Kampung Parit 2 Padang Lalang, Kampung Parit Air Hitam 2, Kampung Ban Pisang.

"Kesemua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman yang dibuka lewat malam tadi," katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa-mangsa banjir terdiri daripada 18 orang dari Parit 3 Kampung Alir Setanggok; dari Kampung Tanjung Bugis Tebok Panchur (33), Kampung Parit 2 Padang Lalang (6); Kampung Parit Air Hitam 2 (13) dan Kampung Ban Pisang (5).

Seramai 21 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat di dalam operasi pemindahan.