TANGKAK: Seorang lelaki maut dipercayai ditetak tiga lelaki bersenjata dalam insiden pergaduhan bersenjatakan parang membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah restoran di Bukit Kangkar, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang dikenal pasti berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.
Advertisement
Video kejadian itu turut tular yang memaparkan mangsa memakai baju-T berwarna putih dan berseluar pendek dikejar tiga lelaki yang masing-masing membawa parang.
Bagaimanapun, mangsa gagal melarikan diri dan pada masa sama kedengaran teriakan mangsa meminta pertolongan sebelum tiga suspek dilihat beredar.
Orang awam yang berada di lokasi juga dilihat melarikan diri memasuki kenderaan masing-masing selepas melihat ketiga-tiga suspek membawa parang yang dibasahi darah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berlaku dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. -- Sinar Harian