KUALA LUMPUR: Sebanyak 33,193 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri, malam tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 206 PPS di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

Di SELANGOR, 15,354 mangsa ditempatkan di 81 PPS malam tadi berbanding 15,404 mangsa di 83 PPS pada petangnya.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan sehingga 5 petang semalam, pihaknya telah melakukan 67 operasi pembersihan, 17 operasi sanitasi dan 331 kerja pemantauan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bersama sukarelawan juga turun padang membantu membersihkan rumah terjejas banjir di Kampung Labohan Dagang, Banting.

Abd Latiff berterima kasih kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang datang menyumbang tenaga dan peralatan untuk pemulihan banjir.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir malam tadi tidak banyak berubah dengan 17,211 orang masih berada di 119 PPS di enam daerah.

Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Di NEGERI SEMBILAN, 132 orang daripada 38 keluarga masih berada di tiga PPS di Jelebu setakat malam tadi, menurut Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 470 orang daripada 153 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas, setakat 9 malam tadi.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada paras waspada.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir di Jasin kekal 26 orang daripada lapan keluarga yang ditempatkan di PPS SK Penghulu Benteng.

-- BERNAMA