KUANTAN: Seorang lelaki yang dilapor hilang dalam kejadian banjir di Kampung Tanjung, Karak dekat sini Isnin lepas (20 Dis), ditemukan maut di kawasan timbunan sisa kayu hari ini, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani.

Beliau berkata mayat K. Barathan, 28, ditemukan pada 10.40 pagi oleh orang awam kira-kira 1.5 kilometer daripada lokasi dia dilapor hilang.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk

Balai Bomba dan Penyelamat Karak pada Isnin menerima panggilan kecemasan membabitkan seorang lelaki disyaki hilang semasa memindahkan barang ketika banjir, dan laporan polis dibuat oleh bapa mangsa setelah anaknya tidak dapat dihubungi.

"Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan di Kampung Tanjung, Karak dan sekitar sungai berhampiran, sebelum orang awam berjaya menemukan mangsa hari ini. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

-- BERNAMA