BENTONG: Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mendesak kerajaan negeri dan persekutuan menerusi kementerian atau agensi yang berkaitan untuk segera menyiasat kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi, di sini petang semalam.

Katanya, ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai setahun, yang mana sebelum ini kejadian sama berlaku pada Mei 2022.

"Adakah telah berlaku penerokaan atau pembukaan tanah di bahagian atas bukit sehingga menyebabkan bencana dan kerugian kepada penduduk? Ini adalah kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai setahun.

"Perkara ini mesti diambil perhatian dan tindakan segera agar ia tidak berulang lagi dan penduduk menjadi mangsa," katanya melalui hantaran di Facebooknya.


Sebelum itu, beliau telah meninjau kawasan Bukit Tinggi yang dilanda banjir kilat petang semalam yang menyebabkan beberapa pembukaan aliran sungai yang baru akibat daripada runtuhan batu dan jalan yang berlaku di FT 68 Sec 43.4 Jalan Lama Bentong - Kuala Lumpur.

"Runtuhan ini baru sahaja selesai dibaikpulih akibat banjir kilat pada 11 Mei tahun lepas. Hari ini (semalam), terjadi lagi menyebabkan beberapa buah rumah dan kedai-kedai mengalami kerosakan.

"Esok (hari ini), ADUN Ketari, Thomas Su dan pegawai-pegawai dari pejabat saya akan hadir semula untuk mendapatkan maklumat mangsa-mangsa untuk urusan bantuan," ujarnya.

Young Syefura menzahirkan penghargaan kepada anggota-anggota Balai Polis Bukit Tinggi, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat Bentong, Bomba Sukarela Bukit Bintang dan Angkatan Tentera Malaysia yang telah membantu mangsa dalam kerja-kerja membersihkan kedai dan kediaman penduduk di sini.

Astro AWANI malam tadi melaporkan, hujan lebat selama kira-kira setengah jam membawa kepada kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi, petang semalam.

Difahamkan kejadian sekitar jam 6.30 petang itu menyebabkan laluan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi ditutup buat sementara akibat jalan rosak.

Malah, Jalan Kuala Lumpur-Bentong yang menghubungkan Genting Sempah ke Janda Baik juga ditutup sementara kepada semua kenderaan selepas mengalami runtuhan akibat kepala air, hari ini.