KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Thailand mencapai kata sepakat untuk menyegerakan kerja-kerja pelebaran dan pendalaman Sungai Golok di sempadan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan tersebut telah dilakukan bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin.

"Seperti saya sebut dua hari lalu, saya berbincang dengan Perdana Menteri Thailand sekali lagi.

"Kita putuskan untuk menyegerakan pelaksanaan projek Sungai Golok, Rantau Panjang kerana projek ini penting. Ia bukan soal perjalanan pengangkutan dua negara tetapi ia melibatkan pelebaran dan pendalaman Sungai Golok itu sendiri.

"Pada hemah kami ia mampu meredakan dan mengurangkan tekanan banjir di Narathiwat (Thailand) dan Rantau Panjang (Malaysia)," katanya dalam sidang media di Pasir Mas selepas meninjau situasi banjir di Kelantan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata terdapat lima projek tambahan akan dilaksanakan bagi mengawal kekerapan banjir.

Perdana Menteri menambah ia melibatkan peruntukan RM910.5 juta.

"Ini menunjukkan bahawa tumpuan kita ini bukan kerana Kelantan kerana masalah banjir ini lebih berat ditanggung di Kelantan.

"Maka projek tebatan banjir itu diberi keutamaan yang lebih di Kelantan," ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Anwar berkata peruntukan segera sebanyak RM6 juta diluluskan bagi membina alur limpah di Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Perdana Menteri berkata, pembinaan alur limpah itu akan dibuat di tiga lokasi termasuk di lokasi benteng yang pecah berkenaan.

Ditanya mengenai insiden benteng pecah yang terletak di Kampung Lanchang, Pasir Mas pecah, Anwar berkata beliau belum mengetahui punca kejadian.