KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka terus mencatat peningkatan manakala Kedah merekodkan penurunan setakat 9 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Melaka dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa di dua PPS di Alor Gajah meningkat kepada 41 orang daripada 12 keluarga berbanding 37 orang daripada 11 keluarga, petang semalam.

PPS Balai Raya Kampung Gadek menempatkan 11 orang daripada enam keluarga manakala 30 orang daripada enam keluarga berlindung di Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal.

"Kawasan terjejas banjir ialah Kampung Kuala Sungga Tebong, Kampung Orang Asli Hutan Percha, Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pengkalan Rama Pantai, Kampung Mata Kucing dan Tengkera," menurut kenyataan itu.

Di PERAK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan PPS Dewan Matang Merbau, Sungai Tinggi di Trong di daerah Larut, Matang dan Selama dibuka pada 3 petang dengan menempatkan 10 orang daripada satu keluarga dari Kampung Permatang Kerian Sungai Tinggi.

Di KEDAH, dua lagi PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Dik di Kulim dan PPS Surau Batu 18 di Bandar Baharu ditutup petang semalam menjadikan jumlah mangsa banjir menurun kepada 187 orang daripada 43 keluarga, setakat 8 malam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan berkata tiga PPS masih dibuka di Kulim iaitu Surau Taman Sang Kancil yang menempatkan 84 orang daripada 19 keluarga, Masjid Sungai Seluang (76 orang, 16 keluarga) dan SK Sri Limau (27 orang, lapan keluarga).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir setakat 7 malam adalah 809 orang daripada 265 keluarga di lima PPS di Pasir Mas dan satu di Tanah Merah, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Rantau Panjang dengan merekodkan bacaan 9.95 meter.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika Pilihan Raya Umum ke-15.

"Bomba akan bersedia berdasarkan keadaan cuaca seperti air hujan bertakung atau kenaikan paras air. Kita akan gunakan aset seperti bot dan lori pengangkut untuk sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya juga akan memberi fokus kepada beberapa lokasi titik panas banjir antaranya Hulu Langat dan Sri Muda, Shah Alam.

IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI

Di TERENGGANU, Timbalan Pengarah Operasi Angkatan Pertahanan Awam Terengganu Mohd Hafiz Asikin berkata daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut dikenal pasti berisiko tinggi dilanda banjir pada Monsun Timur Laut kali ini.

Beliau berkata 30 lokasi paling berisiko turut dikenal pasti antaranya Air Puteh, Seberang Tayor dan Bukit Mentok di Kemaman, Pasir Raja dan Kuala Jengal di Dungun serta Kampung Lubok Periuk di Hulu Terengganu.

"Bagi membantu penduduk, kita telah menempatkan 187 stesen pemantauan banjir, tujuh kamera dan 21 siren yang akan memberi amaran apabila air sungai mencecah paras bahaya," katanya.

-- BERNAMA