KUALA LUMPUR: Cuaca yang semakin baik sejak semalam di Kelantan dan Terengganu mengakibatkan jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu catat penurunan.

Bilangan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang aktif juga berkurangan berbanding semalam.

Secara keseluruhannya, jumlah mereka yang dipindahkan membabitkan Kelantan dan Terengganu adalah seramai 19,793 orang.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir menurun  kepada lebih 8,000 orang daripada 2,675 keluarga berbanding lebih 9,000 malam tadi.

Mangsa ditempatkan di 22 PPS yang beroperasi.

Sementara itu di Terengganu, jumlah mangsa banjir turut turun mendadak kepada 11,655 orang melibatkan 2,994 keluarga.

Aplikasi Info Bencana Pusat Kawalan Bencana (NADMA) memaklumkan sehingga jam 6 pagi sebanyak 50 PPS dibuka di negeri berkenaan.