KUANTAN: Mangsa banjir di seluruh negara yang masih belum berdaftar digesa segera membuat pengesahan dengan ketua komuniti setempat bagi memudahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) disalurkan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, ini kerana masih terdapat mangsa terutama yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi terjejas banjir yang tidak membuat pendaftaran.

Kerajaan, jelas beliau, enggan menerima rungutan ada mangsa yang layak mendapat bantuan tetapi ketinggalan hanya disebabkan agihan bantuan berdasarkan data yang disahkan oleh ketua komuniti setempat. 

Menurut Mohd Shahar, seandainya seseorang yang layak menerima BWI itu tidak mendaftar maka pihak berwajib tidak mempunyai data mereka sekali gus pembayaran tidak dapat dibuat.

Justeru, beliau menggesa kepada golongan yang berbuat demikian agar segera berhubung dengan ketua komuniti atau Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memperoleh pengesahan.

“(Apabila) pengesahan (diperoleh), data itu akan disampaikan kepada pihak (peringkat) daerah sebelum dibawa kepada jawatankuasa bencana negeri dan bencana negeri akan maklumkan kepada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang akan salurkan wang,” kata Mohd Shahar.

Beliau berkata demikian selepas program penyerahan bantuan banjir Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.