SUBANG: Seramai 11 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) digerakkan ke Nepal bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana yang berlaku di negara itu.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, pasukan tersebut dijangka memberi tumpuan di kawasan terakhir rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Meor Ismail menegaskan, objektif utama misi berkenaan adalah atas dasar kemanusiaan, dengan Pasukan SMART akan mencari dan menyelamat semua mangsa tanpa mengira kewarganegaraan.
“Dalam operasi mencari ini, kita tidak kira siapa sahaja mangsa, kita akan selamatkan. Sesiapa yang ada di situ kita akan selamatkan kerana kita tidak tahu rakyat kita berada di mana.
“Alhamdulillah, pagi ini setelah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Nepal, operasi SMART bermula dan berlepas.
“Walaupun bilangan anggota yang diatur gerak adalah kecil, pasukan ini dibentuk secara khusus dengan kepakaran pelbagai merangkumi kepakaran mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi, serta sokongan teknikal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Pasukan SMART bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Nepal di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi berkenaan diketuai oleh Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1), Abdul Manaf Che Isa dan 10 anggota yang mempunyai pelbagai kepakaran termasuk mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.
Beliau berkata, misi selama 10 hari itu menggunakan pesawat A400M Atlas milik TUDM yang turut membawa kira-kira 12.4 tan peralatan operasi.
Ia termasuk peralatan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi dan peralatan khas menyelamat terowong.
Meor Ismail berkata, misi berkenaan turut disertai 31 kru TUDM bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan bagi menyokong operasi di lapangan.
Jelas beliau, pasukan berkenaan dijangka diberi gambaran awal untuk beroperasi di kawasan terowong, namun lokasi dan skop operasi sebenar hanya dapat dikenal pasti selepas taklimat di lapangan.
“Lokasi penugasan Pasukan SMART hanya akan kita ketahui selepas tiba di sana. Sebaik sampai, kita akan diberikan taklimat dan disambut oleh pihak Malaysia di sana.
“Selepas itu, kita akan diberikan taklimat mengenai kawasan pengoperasian,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TUDM dan Kementerian Luar atas kerjasama serta bantuan dalam menjayakan misi SAR berkenaan.
Sementara itu, Abdul Manaf memaklumkan, Pasukan SMART akan ditempatkan di Kathmandu sebelum diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan.
“Lokasi Pasulan SMART di Kathmandu. Pasukan akan diuruskan oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Tempatan bersama Wisma Putra untuk diatur gerak ke lokasi yang ditetapkan,” jelasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia akan menggerakkan Pasukan SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR di negara itu.
Penugasan SMART turut mencerminkan komitmen Malaysia untuk membantu negara yang dilanda bencana, selain memberi keutamaan kepada keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas.
Kerajaan juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa banjir serta menyokong usaha pemulihan pascabencana di negara itu.
Setakat Jumaat, Kementerian Luar memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal, kekal 55 orang.