Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: '70 peratus masih berharap, 30 peratus sudah reda'

Isteri Nasir
Jamaliah (foto) masih menaruh harapan suaminya ditemukan selamat meskipun pada masa sama semakin reda dengan apa jua kemungkinan. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Isteri rakyat Malaysia Muhamad Nasir Abdul Talib yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir kilat di Nepal, Jamaliah Tengku Ismail, 67, masih menaruh harapan suaminya ditemukan selamat meskipun pada masa sama semakin reda menerima apa jua kemungkinan.

“Saya kena sabar. Bagi saya, 70 peratus masih berharap dan 30 peratus sudah reda kerana kita tidak tahu bagaimana keadaannya,” katanya.

Menurut Jamaliah, dia perlu bersedia menerima apa jua kemungkinan, namun enggan berputus asa selagi belum menerima sebarang berita mengenai nasib suaminya.

“Saya juga bersedia menerima kemungkinan terburuk. Semakin lama masa berlalu, peluang itu semakin berkurangan kerana berdasarkan perkiraan, mereka berada di kawasan yang paling teruk terjejas,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar, di sini, hari ini.

Jamaliah berkata kali terakhir dia berhubung dengan suaminya adalah pada malam sebelum Muhamad Nasir bertolak ke sempadan Nepal-Tibet.

Katanya, suaminya turut membuat panggilan ketika dalam perjalanan, namun dia tidak sempat menjawabnya.

Jamaliah berkata lokasi terakhir Muhamad Nasir yang dikenal pasti adalah di sebuah kafe kira-kira sejam sebelum banjir kilat melanda kawasan berkenaan.

“Pada malam sebelum bertolak, mereka sangat gembira dan teruja untuk ke sempadan kerana dimaklumkan kawasan sepanjang perjalanan itu mempunyai pemandangan yang sangat cantik.

“Dia memang suka melancong, tetapi ini kali pertama dia menyertai perjalanan berkumpulan seperti ini. Mereka sudah merancang perjalanan tersebut kira-kira enam bulan lalu,” katanya.

Jamaliah bagaimanapun yakin peluang suaminya untuk terus bertahan masih ada memandangkan kumpulan tersebut turut disertai dua anggota bomba yang mempunyai kemahiran kelangsungan hidup.

“Saya yakin jika mereka berada di tempat yang selamat, mereka boleh bertahan, insya-Allah.

"Dua anggota bomba yang bersama mereka juga merupakan jurulatih dalam teknik 'survival', jadi mereka tentunya boleh membantu yang lain, termasuk suami saya yang tidak mempunyai pengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Jamaliah berharap operasi pencarian dapat dipercepatkan dan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk kumpulan berkenaan berada berdasarkan maklumat lokasi terakhir mereka.

Must Watch Video

Advertisement