KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan lebih agresif termasuk menghantar aset logistik udara termasuk helikopter bagi mengesan serta memindahkan 56 rakyat Malaysia yang dilaporkan terputus hubungan susulan bencana banjir besar di Nepal.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, langkah itu penting memandangkan akses laluan darat dari Kathmandu ke Daerah Rasuwa dilaporkan terputus sepenuhnya akibat runtuhan lebuh raya dan jambatan.
Menurut beliau, kerjasama bersepadu menerusi Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama pihak berkuasa Nepal perlu dipertingkatkan dengan kadar segera.
"Armada Bersatu Malaysia menzahirkan rasa prihatin yang amat mendalam dan mengikuti secara rapat perkembangan bencana banjir kilat serta aliran lumpur besar yang melanda Daerah Rasuwa ekoran limpahan Sungai Bhote Koshi bersempadan dengan Tibet.
"Kami memandang serius pengesahan rasmi Wisma Putra bahawa seramai 56 warganegara Malaysia disahkan terkesan dan gagal dihubungi ekoran kemusnahan total pada infrastruktur komunikasi dan rantaian bekalan elektrik di wilayah tanah tinggi tersebut," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Mengulas lanjut, Harris turut menzahirkan rasa syukur apabila laporan awal mengesahkan tiada kemalangan jiwa melibatkan rakyat Malaysia setakat ini, selain menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Nepal atas kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda penduduk tempatan.
Pada masa sama, beliau menggesa Wisma Putra memastikan Bilik Operasi yang diaktifkan di Putrajaya terus menyalurkan maklumat secara telus, berkala, dan pantas kepada waris mangsa di tanah air.
"Kebajikan, bekalan makanan, dan keperluan perubatan pasca-pindahan bagi setiap mangsa yang berjaya diselamatkan mestilah menjadi keutamaan tertinggi pihak konsular kita di Kathmandu," ujarnya lagi.
Terdahulu, Kuasa Usaha Sementara Malaysia di Nepal, Mohd Firdaus Azman mengesahkan kedudukan 56 rakyat Malaysia yang terputus hubungan di negara itu masih belum dikenal pasti setakat ini.
Bercakap kepada Astro AWANI, beliau menjelaskan kesemua 56 individu berkenaan sebelum ini dilaporkan menuju ke arah kawasan bencana di utara Nepal.
"Yang sebahagiannya… yang membezakan ialah sama ada mereka berada di kawasan tinggi atau di kawasan rendah di kawasan yang terjejas ini," katanya.
Bagi menjejaki keberadaan mereka, pihak kedutaan kini berhubung rapat dengan hospital-hospital di Kathmandu bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang telah diterbangkan menggunakan helikopter untuk rawatan kecemasan, memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pihak berkuasa Nepal memberi keutamaan membawa keluar mangsa yang cedera parah ke ibu negara.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis turut mengarahkan semua agensi berkaitan termasuk MKN dan Wisma Putra mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti serta menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas di Nepal.