KUALA LUMPUR: Kebimbangan terus menyelubungi Aziela Shaharuddin apabila suaminya, Mohd Sani Harul, masih belum dapat dihubungi selepas lima hari kejadian banjir kilat yang melanda Nepal.
Mohd Sani yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan antara dua pegawai bomba Malaysia yang masih gagal dikesan susulan bencana yang mengakibatkan kemusnahan besar di daerah Rasuwa itu.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Aziela meluahkan perasaan rindu, bimbang dan harapan keluarga yang masih menanti kepulangan Mohd Sani dengan selamat.
“Pada saat ini, kami sekeluarga menadah tangan kepada-Mu dengan hati yang penuh harapan, penuh kerinduan dan penuh rasa takut.
“Kami berkumpul sebagai sebuah keluarga kerana kami terlalu merinduimu, namun sehingga saat ini kami masih belum mengetahui di mana dia berada dan bagaimana keadaannya,” luahnya.
Dalam perkongsian sama, Aziela turut menitipkan doa agar Allah SWT terus melindungi suaminya ketika keluarga masih belum memperoleh sebarang maklumat mengenai keadaannya.
“Ya Allah, hanya Engkau yang Maha Mengetahui… engkau melihatnya ketika mata kami tidak mampu melihatnya, mendengar suaranya ketika telinga kami tidak mampu mendengarnya. Di saat kami tidak mampu berada di sisinya, jadilah engkau yang menjaganya,” tulisnya.
Walaupun berdepan detik yang amat mencabar, Aziela berkata mereka sekeluarga tetap tidak kehilangan harapan dan terus berdoa agar Mohd Sani dapat ditemukan dalam keadaan selamat.
“Kembalikanlah beliau kepada keluarganya, kembalikanlah dia kepada anak-anaknya dan saudara-maranya yang sedang menunggu. Kembalikanlah dia dalam keadaan selamat dan sihat.
“Kami mengaku Ya Allah, kami takut, kami risau, kami menangis… Tetap kami tidak mahu berputus asa daripada rahmat-Mu. Kurniakanlah kami kesabaran untuk terus menunggu dan kekuatan untuk terus berusaha,” ujarnya.
Terdahulu, dua pegawai JBPM dilaporkan antara rakyat Malaysia yang gagal dihubungi selepas banjir kilat melanda daerah Rasuwa, Nepal.
Selain Mohd Sani, seorang lagi pegawai yang masih belum dikesan ialah anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, yang juga seorang pendaki profesional.
Kedua-dua mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) ketika kejadian berkenaan berlaku.