Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: Waris rayu Wisma Putra salur maklumat harian, selaras rekod mangsa hilang

[TB]_Family banjir Nepal 1_ASTRO AWANI
Ahli keluarga mangsa hilang di Nepal menggesa Wisma Putra memberi kemas kini rasmi operasi SAR sekurang-kurangnya sekali sehari. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga rakyat Malaysia yang hilang dalam kejadian banjir kilat di Nepal merayu Kementerian Luar (Wisma Putra) dan perwakilan diplomatik berkaitan untuk menyediakan kemas kini rasmi mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekurang-kurangnya sekali sehari.

Wakil waris, Dr R. Manivannan berkata, maklumat harian daripada Wisma Putra, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal serta Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China adalah kritikal bagi mengelakkan keluarga bergantung kepada sumber tidak rasmi yang boleh menambah tekanan emosi.

"Kalau tiada perkembangan sekalipun, beritahu kami bahawa tiada maklumat baharu.

“Sekurang-kurangnya kami tahu perkara ini sedang dipantau dan usaha mencari masih diteruskan.

"Jangan biarkan keluarga terpaksa mencari maklumat sendiri yang hanya menambahkan kebimbangan," katanya pada sidang media ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) di sini, hari ini.

Bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih efisien, MASFIH turut mencadangkan pelantikan seorang pegawai perhubungan khas sebagai pengantara antara pihak berkuasa dan wakil keluarga bagi memastikan komunikasi dilakukan secara berpusat dan konsisten.

Dalam pada itu, Dr Manivannan melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan terdapat warga Malaysia yang berada di wilayah Tibet, China, memandangkan lokasi terakhir kumpulan terbabit dikesan adalah di sekitar sempadan Rasuwagadhi (Nepal-Tibet).

"Kami mohon kerajaan berhubung segera dengan pihak berkuasa China bagi mendapatkan pengesahan sama ada terdapat warga Malaysia yang sudah ditemui atau diselamatkan di kawasan terbabit," katanya.

Beliau turut mendedahkan terdapat percanggahan rekod rasmi membabitkan sembilan warga Malaysia yang dikesan tidak dimasukkan dalam senarai individu hilang dalam laporan Lembaga Pelancongan Nepal bertarikh 26 Ogos lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat membangkitkan isu penyelarasan rekod tersebut dengan pihak berkuasa Nepal bagi memastikan tiada mangsa yang tercicir daripada operasi pencarian.

Menurutnya, tiga kumpulan pelancong Malaysia yang dilaporkan hilang terdiri daripada Leaf Holiday (23 warga Malaysia, tiga warga Singapura), Dream Tibet Travel & Tours (lapan warga Malaysia) serta Fishtail Tours & Travels (17 warga Malaysia).

Dr Manivannan memaklumkan bahawa pihak waris dijadualkan bertemu dengan pegawai Wisma Putra esok bagi membincangkan perkara berkenaan dengan lebih lanjut.

Must Watch Video

Advertisement