Beberapa laluan di Jalan Persekutuan 1 atau Lebuhraya Pan Borneo tidak boleh dilalui berikutan banjir.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kontraktor pakej kerja dan pasukan pengurusan lalu lintas berada dalam keadaan siap sedia untuk membuka semula jalan raya kepada lalu lintas sebaik sahaja air surut.

"Kami menasihati semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati apabila melalui kawasan ini. Perhatikan papan tanda arah, perlahankan kenderaan dan pandulah dengan selamat untuk pulang ke rumah menemui orang tersayang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada pagi Selasa, Jalan Selangau-Tatau di Sungai Arip, kira-kira 132 km dari Sibu, tidak boleh dilalui kenderaan apabila dua bahagian jalan itu digenangi air sedalam 1.2 meter.

Sementara itu, laman facebook Lebuhraya Pan Borneo melaporkan jalan raya di laluan memotong selepas Stapang, lebih 50 km dari Sibu, runtuh tengah hari Isnin.

-- BERNAMA