KUALA KRAI:Seorang penternak ikan air tawar mengalami kerugian lebih RM400,000 apabila tiga daripada lima kolam ikan patin dan keli yang diusahakannya dihanyutkan arus deras akibat banjir sejak empat hari lepas.

Mohd Sharif Che Hak, 62, berkata keadaan itu disedari apabila air naik mendadak mencecah empat meter sehingga menyebabkan 80,000 ikan patin dan keli terlepas dari sangkar.

"Pada Jumaat lepas, kira-kira pukul 4.30 petang saya berada di wakaf yang terletak di kolam ini, dalam masa sejam air naik mendadak dan tidak mampu berbuat apa-apa...hanya mampu melihat saja ikan dihanyutkan arus deras.

"Setelah habis berusaha menutup pagar kayu petang tersebut, malamnya saya pulang ke rumah dan mengadakan solat hajat memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya ikan di dua kolam lain selamat," katanya ketika ditemui di kolam miliknya di Kampung Kenor di sini pada Isnin.

Beliau berkata kejadian seumpama itu berulang lagi selepas yang pertama melanda kolamnya semasa banjir besar bah kuning pada 2014 hingga menyebabkan kerugian lebih besar sebanyak RM600,000 apabila enam kolam ternakan tenggelam menyebabkan 100,000 ekor ikan patin dan keli dihanyutkan air banjir.

Mohd Sharif yang juga pesara Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) berkata beliau sudah menternak ikan-ikan tersebut sejak 12 tahun lepas dan dibantu anak kelimanya, Mohd Safuan, 28.

"Setiap bulan saya akan memasukkan 10,000 benih ikan bagi menampung permintaan daripada pemborong, pasar dan juga asrama sekolah di sekitar Kuala Krai.

"Pada hari biasa pula, saya menjual kira-kira 1,800 kilogram (kg) ikan keli dan tilapia kepada pemborong di Pasar Sri Guchil, Kuala Krai, namun ketika Ramadan permintaan terhadap ikan air tawar meningkat sehingga 3,000 kg sehari yang turut dipasarkan ke Gua Musang," katanya.

Bapa kepada enam anak dan 12 cucu itu berkata biarpun kecewa dan tidak dapat melupakan pengalaman dan kerugian yang ditanggung, apa yang terjadi bukan penghalang untuknya terus menjadi pengusaha ikan air tawar dan antara pembekal utama di sekitar Kuala Krai dan Gua Musang.

Beliau berharap agar kerugian yang dialaminya itu mendapat perhatian daripada Jabatan Perikanan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

-- BERNAMA