TANJUNG MALIM: Pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, di sini, ditutup pagi ini, apabila banjir pulih.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim, Mohamad Fitri Hassan, PPS itu ditutup pada jam 8.30 pagi.

PPS itu yang dibuka jam 5.40 petang semalam menempatkan 168 mangsa banjir dari 26 buah keluarga dari Kampung Berop, dekat sini.

Banjir kilat dipercayai berpunca apabila Sungai Berop melimpah selepas hujan lebat turut selama lebih dua jam.

Sementara itu, banjir kilat turut melanda Batu 7 1/2 Lorong Mesra di Teluk Intan yang menyebabkan 18 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Padang Tembak yang dibuka jam 2.30 petang.

Mereka terdiri daripada empat lelaki dewasa, lima wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.