SHAH ALAM : Seorang rakyat Malaysia berkongsikan detik cemas dilaluinya yang terpaksa meninggalkan Hat Yai, Thailand dengan segera pada Ahad selepas banjir mula melanda bandar raya yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia itu.

Menerusi perkongsian di Twitter, pengguna dengan nama @cairhman_GLC berkata, dia bergegas meninggalkan bandar raya tersebut selepas mendapat amaran untuk mengelakkan daripada terperangkap di wilayah tersebut.

“Hampir tidak sempat keluar dari Hat Yai tadi. Banyak jambatan ditutup kepada kereta. Saya terpaksa meredah banjir untuk mengakses jambatan lain yang berdekatan.

“Alhamdulillah saya memandu Alza (jenis kenderaan). Saya membayangkan bahawa Hat Yai akan tidak dapat diakses tidak lama lagi. Sangat menakutkan apa yang saya lalui sebentar tadi,” menurutnya dalam ciapan tersebut pada petang Ahad.

BACA: Hujan lebat 2 hari, Hat Yai dilanda banjir

Media Thailand melaporkan hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan banyak jalan raya yang menghubungkan daerah di Wilayah Songkhla, Thailand termasuk Hat Yai yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia dilanda banjir.

Turut dilaporkan ditutup pada pagi Ahad adalah jalan lama antara daerah Muang dan Hat Yai.

Selain itu, banyak bahagian jalan raya, termasuk di Ban Khuan Hin dan Ban Bangkhan, dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.

Menurut laporan itu, orang ramai yang melakukan perjalanan antara kedua-dua daerah dinasihatkan supaya mengelak jalan lama dan mengambil lebuh raya yang lebih baharu iaitu Jalan Lopburi Ramet.

Di daerah Rattaphum, jalan dari pekan daerah ke persimpangan Khuha turut dinaiki air.

Pemandu yang dalam perjalanan dari Satun ke Rattaphum dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya lama Phetkasem. - Sinar Harian