PARIT: Seorang guru disiplin dpercayai cedera akibat ditumbuk sekumpulan pelajar dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar pada Rabu.
Kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu didakwa tercetus daripada rasa tidak puas hati apabila rambut pelajar terlibat digunting guru berkenaan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairuddin Abu Hanipah berkata, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berhubung perkara itu.
"Saya belum dapat maklumat secara sahih dan masih menunggu laporan daripada pihak JPN berkaitan kejadian itu.
"Jika benar berlaku, ia merupakan satu tindakan yang tidak sewajarnya kerana guru adalah murabbi yang mendidik dan mengasuh anak-anak,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau berkata, semakan lanjut sedang dilakukan bagi menentukan kesahihan kejadian tersebut sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
Katanya, pelajar perlu menghormati guru walaupun terdapat perkara dalam proses pembelajaran yang mungkin tidak disenangi.
“Adab dan nilai perlu diletakkan lebih tinggi daripada ilmu. Jika adab tiada, sukar untuk melahirkan individu yang berdisiplin dan berwawasan,” katanya.
Terdahulu, Khairuddin merasmikan Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Gen Alpha anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dengan kerjasama Andalusia Travel and Tour di Masjid Sultan Yussuf Izzuddin Shah di sini. - Sinar Harian