HUJAN lebat berterusan selama dua hari telah menyebabkan banyak jalan raya yang menghubungkan daerah di Wilayah Songkhla, Thailand termasuk Hat Yai yang menjadi tumpuan pelancong Malaysia dilanda banjir.

Jalan lama antara daerah Muang dan Hat Yai ditutup pada pagi Ahad, lapor Bangkok Post.

Selain itu, banyak bahagian jalan raya, termasuk di Ban Khuan Hin dan Ban Bangkhan, dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan kecil.

Orang ramai yang melakukan perjalanan antara kedua-dua daerah dinasihatkan supaya mengelak jalan lama dan mengambil lebuh raya yang lebih baharu iaitu Jalan Lopburi Ramet.

Di kawasan bandar Tambon Phawong, air sedang dipam keluar dari kawasan banjir walaupun hujan terus turun.

Di daerah Rattaphum, jalan dari pekan daerah ke persimpangan Khuha turut dinaiki air. Pemandu yang dalam perjalanan dari Satun ke Rattaphum dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya lama Phetkasem.