BATU PAHAT: Bencana banjir di negeri ini mempunyai hikmahnya tersendiri apabila remaja dan kanak-kanak di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Parit Lapis Bangas, Sri Medan di sini, terpaksa melupakan seketika 'alam maya' dan bersosial di alam nyata, akibat terjejasnya kemudahan internet.

Fatin Nur Syazana Mohamad Ares, 17, yang sebelum ini sukar berpisah dengan telefon bimbitnya, memberitahu Bernama beliau mula bermain beberapa permainan tradisional bersama rakan-rakan di situ untuk mengisi masa lapang.

"Ketiadaan Internet ini menjadikan hubungan saya dengan kawan-kawan semakin akrab, kami yang ditempatkan di PPS bermain beberapa permainan tradisional serta mempunyai peluang untuk berkongsi cerita pengalaman masing-masing.

"Jika ada talian internet sekarang ini, pastinya ramai yang membuat hal masing-masing sama ada bermain permainan video secara dalam talian atau melayari media sosial," katanya ketika ditemui di PPS berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alif berkata dia sudah biasa melayari internet untuk menonton video kartun atau bermain permainan dalam talian.

"Tiada internet, saya banyak bermain dengan rakan-rakan sahaja, saya harap internet di kawasan ini cepat pulih," katanya.

PPS berkenaan yang dibuka sejak 3 Mac lepas kini menempatkan seramai 199 mangsa daripada 60 keluarga.

Selain ketiadaan kemudahan internet, PPS itu hanya menggunakan generator untuk bekalan tenaga elektrik, selain tempat itu hanya boleh diakses menggunakan bot susulan jalan utama ditenggelami banjir hingga paras hampir dua meter.

-- BERNAMA