BELURAN: Paras air meningkat di 11 sungai di daerah ini dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut bertambah menjadi lima buah sehingga jam 8.00 malam, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, terdapat empat sungai meningkat dilaporkan di kawasan Tagas-Tagas, lima lagi di kawasan Paitan dan dua sungai pula di kawasan Telupid.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa jalan utama dan jalan kampung telah dinaiki air.

Antara jalan utama yang dinaiki air adalah Jalan Utama Kampung (KG) Pinangkau, Jalan Utama Kg Sokoon, Jalan Utama Estate Meridian Kg Tangkarason namun masih boleh dilalui oleh kenderaan.

Manakala, tiga jalan kampung turut dinaiki air namun masih dapat dilalui iaitu Jalan Kg Sualok, Kg Berayung, Kg Kiabau.

Kasim berkata, terdapat 19 buah kampung lagi terputus hubungan antaranya Kg Perancangan, Kg Toniting, Kg Gana Jati, Kg Terasak, Kg Biru-biru dan Kg Berayung.

Setakat ini sebanyak lima buah PPS telah dibuka iaitu SMK Pamol menempatkan 13 orang mangsa dan Dewan Kg Binsulung menempatkan 25 orang mangsa.

Di Dewan Kg Balaban seramai 37 orang, Dewan Bakong-Bakong seramai lima orang serta Dewan Rancangan Nangoh menempatkan 21 orang mangsa.

Kasim berkata, terdapat 20 buah kampung yang dikategorikan sebagai titik panas banjir berdasarkan rekod kejadian banjir sebelum ini.

Situasi semasa hujan yang berlaku di semua kawasan mengakibatkan kemungkinan paras air akan meningkat dan risiko banjir kilat, menasihatkan kepada penduduk agar sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menyimpan dokumen-dokumen penting dalam keadaan selamat dan mudah dibawa.

Menurutnya, setakat ini seramai 60 orang telah ditugaskan untuk mengawal selia keadaan semasa membabitkan pelbagai agensi.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan sebanyak tiga buah PPS dilaporkan dibuka setakat petang, Sabtu.