MALAYSIA
Banjir Sabah: Penduduk Kampung Pimping harap tidak dipinggirkan, mohon bantuan berkala

Penduduk Kampung Pimping juga mengharapkan agar kerajaan mempertimbang bantuan kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). - Astro AWANI
MEMBAKUT: Situasi banjir di Sabah yang semakin pulih secara umumnya memberikan kelegaan kepada sebahagian besar penduduk yang terjejas.
Namun, masih terdapat penduduk di beberapa kampung terutama di daerah Membakut yang belum sepenuhnya dapat menghela nafas lega, lantaran kawsan mereka menghadapi situasi 'banjir termenung'.
Tinjauan Astro AWANI di Kampung Pimping, Membakut mendapati, penduduk mendakwa, keadaan banjir seperti itu adalah kejadian kali kedua untuk tahun ini.
Mereka turut mengharapkan agar sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan secara berkala, seperti situasi banjir yang pernah berlaku sebelum ini.

Aini Yusop
“Baru sekali kami terima bantuan seperti pek makanan, kemudian tiada lagi bantuan yang diterima. Alhamdulillah, kami bersyukur. Bukan meminta-minbta, cuma dalam situasi sukar ini, jika ada yang menghulur sebarang jenis bantuan, ia amat memudahkan urusan penduduk di sini,” kata Aini Yusop kepada Astro AWANI pada Ahad.
Penduduk, Dayang Nurani Salleh pula mengharapkan agar kerajaan turut mempertimbang bantuan kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Mereka yang pindah ke PPS itu dapat bantuan RM1,000. Macam kami yang tidak pindah ke PPS pun perlu juga bantuan tunai kerana banyak kerosakan dan pembaikan untuk baik pulih rumah kami,” katanya.

Dayang Nurani Salleh
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai aduan penduduk Kampung Pimping, Astro AWANI bertemu dengan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Kampung berkenaan yang terletak di DUN Membakut, turut termasuk dalam kawasan Parlimen Kimanis.
“Banjir kali ini memang harga kerugiannya besar, itu sebab saya suarakan agar bantuan kerajaan yang diberi kepada mangsa banjir dipindah ke PPS, saya harap bantuan sama diberi kepada mereka yang tidak pindah ke PPS.
“Kerosakan harta benda itu merata, bukan hanya untuk mereka yang pindah, yang tidak pindah pun terjejas, saya harap kerajaan pertimbangkanlah,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami