KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak masih kekal seramai 1,482 orang, melibatkan 388 Ketua Isi Rumah (KIR) di 17 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 7 pagi ini, tiga PPS ditutup melibatkan Balai Raya Kampung Opar, Balai Raya Kampung Jugan dan Sekolah Kebangsaan Endap Kota Samarahan dengan 75 mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menyatakan, kesemua PPS tidak mencatatkan sebarang penambahan mangsa.

Bahagian Kuching masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 452, diikuti Samarahan (414), Serian (311) dan Betong (218), merangkumi wilayah selatan Sarawak.

Sementara itu, PPS Dewan Kampung Koran Mawang, Serian merupakan satu-satunya PPS yang menempatkan 57 mangsa tanah runtuh daripada tujuh KIR.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan sehingga esok (26 Dis) bagi beberapa daerah di utara Sarawak, melibatkan Miri, Subis, Beluru, Marudi dan Limbang.

Terdahulu, Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan Sarawak mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Mereka terdiri daripada 1,124 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (1,245 orang), tentera (488 orang), Rela (868 orang), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (1,011 orang), Kementerian Kesihatan Malaysia (423 orang) dan lain-lain agensi seramai 534.