NATIONAL
Banjir: Shah Alam, Petaling dan Klang terjejas, 137 mangsa dipindahkan

Antara rumah yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi. - Foto X/Suri Lisa
KUALA LUMPUR: Beberapa daerah di sekitar Selangor dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi, pada Jumaat.
Kawasan di tiga zon utama iaitu Shah Alam, Petaling dan Klang terjejas dengan limpahan air menyebabkan pemindahan mangsa serta kerosakan harta benda, setakat jam 8 pagi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Kampung Padang Jawa, Shah Alam menjadi lokasi terjejas dengan kedalaman air mencecah dua kaki dengan air dilaporkan masih menaik secara perlahan.
"Tiga orang mangsa telah dikenal pasti setakat ini, dengan sebanyak 20 unit rumah dilaporkan terkesan. Setakat laporan ini dikeluarkan, pusat pemindahan sementara (PPS) masih belum ditetapkan bagi kawasan ini."Daerah Petaling pula menyaksikan dua kawasan terlibat iaitu di Kampung Tengah dengan paras air setinggi dua kaki dilaporkan berada dalam keadaan statik.
"Enam orang mangsa dikenal pasti terlibat, melibatkan sebanyak 20 unit rumah dan PPS bagi kawasan ini telah dibuka di Masjid Putra Height," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sementara itu, JBPM Selangor melaporkan Kampung Seri Aman turut dinaiki air mencecah dua kaki namun menunjukkan trend menurun.
"Seramai 120 orang mangsa telah direkodkan dengan 30 unit rumah terkesan. PPS untuk kawasan ini masih dalam pertimbangan dan belum diputuskan.
Di Klang pula, kawasan Taman Seri Jaya dilanda banjir dengan kedalaman air dua kaki serta keadaan air dilaporkan statik.
"Lapan orang mangsa telah dikenal pasti, dengan sebanyak 10 buah rumah terjejas.
"Pusat pemindahan sementara telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Binjai bagi menempatkan penduduk yang terlibat," ujarnya.
JBPM Negeri Selangor berkata, pihaknya terus bersiap siaga dan memantau rapi perkembangan cuaca serta keadaan di kawasan-kawasan terlibat.
"Orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami