KUALA TERENGGANU: Dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di Kuala Nerus mendakwa menjadi mangsa amang seksual seorang warga emas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku di PPS itu pada Rabu.

Mazli berkata, keluarga kedua-dua mangsa membuat laporan polis dan pihaknya menahan suspek di PPS berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Kita telah menerima dua laporan polis berkaitan satu kejadian amang seksual melibatkan dua kanak-kanak yang berumur tujuh tahun yang berlaku di PPS banjir.

"Suspek dipercayai seorang lelaki berusia 61 tahun dan juga menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di PPS yang sama," katanya.

Mazli berkata suspek dikatakan mengajak kanak-kanak tersebut untuk menelaah pelajaran sebelum melakukan perbuatan itu.

Katanya suspek telah direman selama seminggu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) AKta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Jelas Mazli lagi pihaknya telah mengarahkan pasukan di semua PPS untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Mazli turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak sepanjang berada di PPS.