SEGAMAT: Meskipun banjir melanda daerah Segamat sudah memasuki hari kelima, namun lebih 1,000 penduduk di enam buah kampung di Pogoh di sini, masih terputus hubungan susulan paras air yang masih belum surut sepenuhnya di kawasan berkenaan.

Senario itu menimbulkan kebimbangan penduduk yang terlibat berikutan kediaman mereka ibarat pulau dan sekali gus terputus hubungan dan hanya mengharapkan ihsan orang ramai serta agensi berkaitan untuk menghantar bantuan bekalan makanan.

Seorang mangsa banjir di Kampung Pogoh Tengah, Fazilah Mohd Isa, 47, berkata, kejadian banjir kali ini antara yang terburuk selepas berdepan situasi sama pada tahun 2011 lalu.

Bagaimanapun katanya, dia mengakui lebih risau kali ini apabila selepas lima hari, paras air masih tinggi di kawasan kampung berkenaan dan menyebabkannya tidak dapat bergerak ke mana-mana termasuk keluar bekerja.

“Memang risau lah kerana nak keluar pun tidak boleh sebab kami semua terperangkap di sini  dan hanya boleh keluar menaiki bot berikutan semua jalan darat terputus dan dipenuhi air.

“Sekarang ini bukan sahaja air belum surut, malahan nampaknya air banjir ini naik lagi dan mungkin lebih lama kami terpaksa duduk di rumah tidak boleh keluar ke mana-mana,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Kejadian banjir kali ini dikatakan antara yang terburuk selepas berdepan situasi sama pada tahun 2011 lalu. - Foto Astro AWANI

Selain Kampung Pogoh Tengah, lima lagi kampung lain yang turut terputus hubungan di kawasan itu ialah Kampung Bukit Senggir, Kampung Limau Manis, Kampung Chodan, Kampung Tekam dan Kampung Sri Rahmat.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Zulkifle Ahmad, 54, turut menyuarakan kebimbangan sama yang khuatir dengan paras air yang belum surut sehingga kini.

“Air masih naikkan, jadi memang risau lah kerana dulu dua tiga hari dah surut dan kembali pulih tetapi sekarang ini masih belum surut dan kita reda saja lah.

“Lagi satu kita risau sebab ternakan banyak mati dan terapung dan apabila surut kita perlu fikir pula untuk timbus dan tanam semua haiwan ternakan,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, N.Saraswati berkata, lebih 1,000 mangsa di kawasan itu berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, pihaknya bersama anggota penguatkuasa turut menggerakkan pasukan untuk menghantar bekalan makanan kepada mereka yang masih berada di rumah.

“Setakat ini dalam enam kampung kami terpaksa masuk untuk hantar bantuan dengan menggunakan bot.

“Tetapi selain mangsa-mangsa yang berada di PPS, semua mangsa yang berada di rumah kami telah menghantar bantuan bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan,” katanya.

Sementara itu tinjauan Astro AWANI di kawasan berkenaan mendapati puluhan rumah masih ditenggelami air sehingga paras bumbung.