MALAYSIA
Banjir tiga negeri: 352 mangsa masih berlindung di PPS setakat 10 malam tadi

Seorang penduduk, Mohd Izzuddin Asman mengemas rumahnya yang dinaiki air ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Paya Embun, Pekan Nenas di sini, pada Sabtu. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 352 mangsa banjir daripada 104 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, Perak dan Kedah setakat 10 malam tadi, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) masing-masing.
Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat di Pontian kekal 159 orang daripada 46 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya sejak 6 pagi tadi.
Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata semua penduduk terjejas berasal dari Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya, dengan cuaca dilapor baik.
Di PERAK, jumlah penduduk terjejas di Larut, Matang dan Selama berkurang kepada 107 orang daripada 33 keluarga berbanding 170 orang (52 keluarga) petang tadi.Sekretariat JBPN memaklumkan PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya, Taiping ditutup pada 7.30 malam, menjadikan tiga PPS masih beroperasi iaitu SK Simpang, SK Matang dan SK Matang Gelugor.
"Sebanyak 22 mangsa (lapan keluarga) berada di PPS SK Simpang, 38 (11 keluarga) di PPS SK Matang dan 47 (14 keluarga) di PPS SK Matang Gelugor," menurut sekretariat itu.
Di KEDAH, jumlah mangsa di Dewan Serbaguna Pokok Sena menurun kepada 86 orang daripada 25 keluarga berbanding 91 orang (26 keluarga) petang tadi.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata penurunan itu susulan beberapa keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Ketika ini hanya tiga sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Muda di Ampang Jajar, Kuala Muda; Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu; dan Sungai Naka di Padang Terap.
Cuaca di ketiga-tiga negeri dilaporkan baik, namun pihak berkuasa terus memantau berikutan amaran hujan berterusan di beberapa kawasan awal pagi esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami