BAITULMUQADDIS: Israel mendakwa serangan udara tentera rejim itu semalam telah mengorbankan Komander Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Laksamana Madya Alireza Tangsiri.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata serangan tersebut yang menyasarkan sebuah pusat arahan rahsia di bandar pelabuhan Bandar Abbas, selatan Iran, turut mengorbankan beberapa pegawai kanan operasi tentera laut yang lain.
Advertisement
Katz menyifatkan serangan berkenaan sebagai satu operasi yang tepat terhadap individu yang dianggap sebagai dalang utama di sebalik sekatan laluan kapal di Selat Hormuz.
Dia berkata pembunuhan Alireza Tangsiri adalah mesej jelas Israel mengenai komitmen untuk membuka semula laluan strategik itu.
Kematian Alireza Tangsiri dilihat sebagai tamparan hebat kepada struktur perintah tentera Iran, khususnya dalam menguruskan operasi maritim di Teluk Parsi ketika konflik sedang memuncak.
Pihak berkuasa Iran setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi atau ulasan berhubung dakwaan pembunuhan pemimpin kanan tentera mereka itu.
Insiden ini menambah senarai panjang pembunuhan berprofil tinggi pemimpin Iran sejak konflik bermula pada hujung Februari lalu, termasuk siri serangan yang didakwa menyasarkan kepimpinan tertinggi negara berkenaan.