Skip to main content

Malaysia

Kerajaan pertimbang pelaksanaan bekerja dari rumah secara berperingkat

[[LIVE]] Perutusan khas YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  Khamis | 26 Mac 2026 _FB Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa. - Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Advertisement

Selain sektor awam, beliau turut menyarankan sektor swasta supaya melaksanakan kaedah sama seperti yang telah diamalkan oleh beberapa syarikat dan institusi perbankan.

"Langkah-langkah lain sedang difikirkan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah. Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah dan saya percaya insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat pada Khamis.

Anwar menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menjaga disiplin fiskal termasuk mengelakkan ketirisan dan pembaziran, selain memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal positif meskipun suasana global tidak menentu.

Beliau menyatakan bahawa walaupun dunia berdepan kemurungan ekonomi, Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang aktif dan minat pelabur asing kekal tinggi walaupun wujud kemelut serta peperangan di peringkat global.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta, supaya terus bekerja keras demi memperkukuh ekonomi negara di tengah cabaran global.

Beliau menambah bahawa negara perlu kekal aman dan rakyat perlu bekerja gigih kerana setiap ujian serta cabaran tetap membuka ruang untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan negara.

Must Watch Video